Rabu, 8 Ogos 2007

INTRODUKSI

SEJARAH RINGKAS KAMPUNG SERKAM
Oleh: Tuan Guru Al-Marhum Hj Omar bin Hj Othman
(CATATAN DI DALAM TEKS JAWI DENGAN GAYA BAHASA ASAL)
Al-Kisah dimulakan mengarang sejarah Kampung Serkam . Adapun Kampung Serkam ini diambil namanya daripada sekam padi. Maka asal pada nur Muhamad,kejadian padi asal ia kulit padi,menjunjung kulit-kulitnya belah dua terbuka sebelah atasnya malam malam diisi oleh air embun apabila air embun penuh kulitnya katup air embun pekat jadi santannya lama lama berat ia meluntur tangkai padi tunduk.Kata orang tua-tua “ikutlah resmi padi,jangan ikut resmi lalang”. “Ada padi serba jadi,ada beras serba deras”.Maka Kampung Serkam sebelah daratnya ada bukit, diatas bukit ada pohon kelapa tempat orang berteduh masa mengangin dan menumbuk padinya disitu. Sebab itu disitu banyak sekam padi berlonggok dinamakan Kampung Sekam . Tetapi kebanyakan orang tua tiada setuju nama sekam,lalu diubahnya dengan nama serkam. Kalaupun diterjemahkan pada bahasa Arab ‘ser’ maknanya rahsia dan ‘kam’ maknanya beberapa . Boleh dikatakan ‘beberapa rahsia’ Lekatlah nama serkam hingga sekarang.

Tersebut kisah cerita zaman Nabi Allah Noh, apabila karam bahtera daripada bulan Rejab hingga bulan Muharam tatkala kering daripada karam itu, lalulah bahteranya diatas bukit jodi.Segala manusia datang mengadukan lapar kepada Nabi Noh. Kata Nabi bawa kemari apa jenis makanan yang ada dan dibawalah kepadanya tujuh biji satu daripadanya ialah beras, maka dibaca Nabi Allah Noh ‘ Bismallahirrahman Nirrahim’ lalu dijerang didalam satu kawah yang besar. Pada hari itu ialah kena pada 10 Muharam dinamakan bubur asura yang kita amalkan pada tiap-tiap tahun sungguhpun perkara bidaah tetapi bidaah hasanah untuk disedekahkan bubur itu pada kanak-kanak dan orang fakir dan miskin.(Adapun nama nama ketua2, penghulu imam kampung Serkam ada tercatit didalam sejarah mesjid Serkam - penyusun)



CATITAN KAJIAN LAIN YANG DIBUAT OLEH PENGKAJI SEJARAH MENGENAI SEJARAH KAMPUNG SERKAM



Serkam ialah sebuah kampung letaknya sebelas batu dari bandar Melaka. Perkataan Serkam berasal dari dua gabungan perkataan Arab iaitu ‘Ser’ dan ‘kam’ Perkataan ‘ser’ bermaksud rahsia dan ‘kam’ bermaksud beberapa. Dengan itu Kampung Serkam bererti beberapa rahsia.
Menurut tradisi lisan Kampung Serkam pada asalnya telah diterokai oleh satu keluarga yang berasal dan Pelembang,Indonesia. Ketua keluarga itu ialah Dato’ Isnin. Beliau bersama-sama dengan 5 anaknya yang bernama Abas, Dato’ Marsah, Dato’Ab Raof, Dato’Bujal dan Dato’ Othman . Melalui keluarga inilah berkembangnya masyarakat Serkam hingga ke dewasa ini.Penghijrahan keluarga Dato’ Isnin mungkin berlaku dalam abad ke 18. Terdapat juga dokumen-dokumen seperti peta-peta Inggeris menunjukkan Serkam wujud pada waktu itu.Tetapi amat ketara pada abad ke 19. Penduduk terus bertambah dari masa ke masa sebahagian besar penduduknya terdiri oleh orang Melayu. Terdapat bangsa-bangsa asing yang tinggal di kampung sepanjang abad yang ke 19. Contohnya pada tahun 1821 kampung ini mempunyai seramai 2,161 orang penduduk. 1,932 daripadanya terdiri dari orang Melayu. 211 orang Cina dan 18 orang India. Kebanyakannya orang asing ini bekerja sebagai peniaga dan peraih.

Tiada ulasan: